BEIJING: China akan menurunkan harga siling runcit petrol dan diesel mulai Sabtu, menjadikannya penurunan ketiga berturut-turut serta pengurangan terbesar dalam tempoh hampir enam tahun, lapor Xinhua.
Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), harga petrol dan diesel masing-masing akan dikurangkan sebanyak 950 yuan (kira-kira US$139) dan 915 yuan bagi setiap tan.
Ketua Pusat Ekonomi di Institut Penyelidikan Tenaga, Akademi Penyelidikan Makroekonomi China, Tian Lei berkata pelarasan itu dibuat susulan kejatuhan harga minyak mentah dunia daripada paras tertinggi baru-baru ini berikutan ketegangan yang semakin reda di Asia Barat serta pemulihan secara berperingkat aktiviti perkapalan di Selat Hormuz.
Di bawah mekanisme penetapan harga semasa China, harga domestik petrol dan diesel diselaraskan setiap 10 hari bekerja mengikut perubahan harga minyak mentah dunia.
Tian berkata penurunan itu membolehkan pemilik kenderaan persendirian menjimatkan kira-kira 40 yuan bagi setiap kali mengisi penuh tangki minyak, manakala pemandu lori boleh menjimatkan sekitar 400 yuan bagi setiap tangki.
NDRC menggesa pengeluar dan penapis minyak utama memastikan bekalan pasaran kekal stabil serta melaksanakan dasar penetapan harga negara dengan tegas.
Permintaan tenaga China terus meningkat berikutan peralihan beransur-ansur dalam komposisi tenaganya. Data rasmi menunjukkan jumlah penggunaan tenaga negara itu mencecah 6.17 bilion tan setara arang batu standard pada 2025, meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun, manakala penggunaan minyak mentah meningkat 3.6 peratus dan bahagian tenaga bersih terus berkembang.
-- BERNAMA-XINHUA