Skip to main content
Advertisement

Dunia

CNN, MS NOW, Politico bersedia saman pentadbiran Trump

81738936941_TBWhiteHousejpg.jpg
Langkah tersebut sekali gus mengeruhkan lagi pertikaian berhubung isu akses media serta hak kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat. - Gambar fail
Advertisement

WASHINGTON: Tiga agensi berita terkemuka, CNN, MS NOW, dan Politico pada Isnin menyatakan kesediaan mereka untuk mengemukakan saman terhadap pentadbiran Trump ekoran tindakan menyekat wartawan mereka daripada memasuki premis White House.

Langkah tersebut sekali gus mengeruhkan lagi pertikaian berhubung isu akses media serta hak kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

Sabtu lalu, krew media daripada CNN dan MS NOW terpaksa melaporkan dari luar pekarangan White House selepas mereka bersama wartawan Politico dinafikan akses masuk. Tindakan itu menyusuli pengumuman Presiden Donald Trump yang mahu mengharamkan agensi terbabit daripada memasuki kawasan bangunan berkenaan.

Sambil berdiri di kedua-dua belah Jalan Pennsylvania yang bertentangan dengan bahagian barat White House, barisan wartawan terbabit melaporkan pengalaman mereka kepada penonton sepanjang hari.

Ketiga-tiga saluran berita berkenaan secara berasingan mengesahkan bahawa pas media pasukan mereka telah dirampas pada pagi Sabtu ketika wartawan mereka hadir ke White House untuk bertugas.

Pihak pengurusan agensi berita itu membayangkan akan mencabar larangan berkenaan atas dasar ia bercanggah dengan perlindungan Pindaan Pertama Perlembagaan AS yang menjamin kebebasan bersuara dan media.

CNN dalam satu kenyataan pada Sabtu menyifatkan larangan itu sebagai "serangan haram" terhadap hak perlembagaannya untuk menjalankan tugas kewartawanan tanpa sebarang gangguan daripada pihak kerajaan.

Sementara itu, MS NOW dan Politico dalam kenyataan berasingan menegaskan komitmen mereka untuk mempertahankan hak Pindaan Pertama serta peranan penting kewartawanan bebas dalam sistem demokrasi negara itu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga agensi tersebut menegaskan mereka akan terus komited membuat liputan dan menyokong penuh petugas media mereka yang ditugaskan di White House.

Sebelum ini, Trump menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat menuduh agensi terbabit "melaporkan berita palsu" selain mendakwa mereka tidak sepatutnya dibenarkan menulis atau melaporkan rekaan dan penipuan ketika membuat liputan mengenai Presiden AS. 

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan serupa akan diambil terhadap agensi media berita palsu yang lain.

Ini bukan kali pertama Trump cuba menyekat agensi berita atau wartawan tertentu daripada menghadiri perhimpunan media.

Tahun lepas, beliau mengharamkan Associated Press (AP) daripada kumpulan wartawan yang membuat liputan rasminya ekoran keengganan agensi berita itu menggunakan nama pilihan Trump untuk Teluk Mexico sebagai 'Teluk Amerika'. AP dilapor telah mencabar larangan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement