Ringkasan AI
- Dua remaja ditahan kerana disyaki membekalkan vape mengandungi dadah kepada pelajar sekolah di Negeri Sembilan.
- Analisis mendapati cecair vape dicampur pelbagai dadah berbahaya seperti ketamin, benzodiazepin dan kanabinoid.
- Polis sedang mengesan dalang utama kes vape berdadah dan menasihati ibu bapa lebih proaktif memantau anak-anak.
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua remaja yang dipercayai bertindak sebagai pembekal dalam kes seorang pelajar sekolah menghisap rokok elektronik atau vape mengandungi dadah di Negeri Sembilan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek yang ditahan membabitkan seorang pelajar berusia 17 tahun yang juga rakan sekolah mangsa dan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tidak bersekolah.
"Dua individu ini yang membekalkan vape mengandungi dadah itu kepada mangsa dan kita kini giat mengesan seorang lagi individu yang bertindak sebagai dalang utama membekalkan bahan berkenaan kepada mereka.
"Siasatan mendapati wujud trend penjualan cecair vape bercampur dadah menerusi media sosial. Dalam kes ini, mangsa membelinya daripada rakan, manakala rakannya itu membeli secara dalam talian sebelum dihantar terus ke rumah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mereka diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Mengulas kandungan cecair vape berkenaan, Hussein berkata hasil analisis mendapati ia dicampur dengan pelbagai jenis dadah berbahaya termasuk ketamin, benzodiazepin dan kanabinoid.
"Kesan pengambilannya seperti yang dilihat menerusi video yang tular itu, iaitu mangsa bertindak di luar kawalan dan berada dalam keadaan khayal," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih proaktif memantau pergaulan anak-anak, termasuk memeriksa beg sekolah atau bilik tidur mereka bagi mengelakkan mereka terjebak dengan vape mengandungi dadah.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya menyiasat kejadian seorang pelajar tingkatan lima yang dirakam dalam keadaan khayal selepas disyaki menghisap vape mengandungi dadah di sebuah sekolah di negeri itu.
Mengenai siasatan kes kapal MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia berhubung cubaan menyeludup dadah, Hussein berkata polis telah mengenal pasti tiga dalang utama di sebalik sindiket antarabangsa berkenaan.
Beliau berkata dalang terbabit melibatkan masing-masing seorang warga Singapura, Taiwan dan Myanmar.
"Identiti dan gambar ketiga-tiga mereka telah dikenal pasti dan kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Singapura, Myanmar dan Taiwan untuk mengesan mereka yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara," katanya.
-- BERNAMA