Ringkasan AI
- Singapore Airlines mengumumkan pelaburan lebih S$2 bilion untuk menaik taraf produk kabin penerbangan jarak jauh dan sistem hiburan KrisWorld.
- Naik taraf akan bermula separuh kedua 2027 melibatkan 41 pesawat Airbus A350-900 dan pesawat Boeing 777-9 baharu dengan pelbagai kelas kabin.
- SIA turut melabur lebih S$130 juta untuk pengubahsuaian dan peluasan ruang rehat SilverKris di seluruh dunia, termasuk di Lapangan Terbang Changi.
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) hari ini mengumumkan pelan pelaburan bernilai lebih S$2 bilion (S$1=RM3.16) untuk menambah baik produk kabin penerbangan jarak jauh serta sistem hiburan dalam penerbangan KrisWorld sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengalaman penumpang.
Naik taraf baharu ini akan diperkenalkan secara berperingkat bermula separuh kedua 2027 pada 41 pesawat Airbus A350-900 (jarak jauh dan jarak ultra-jauh/ULR) milik SIA yang akan menjalani pengubahsuaian, serta pada pesawat Boeing 777-9 serba baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata naik taraf ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen teguh Singapore Airlines untuk meningkatkan pengalaman perjalanan secara menyeluruh.
"Bagi pelanggan kami, pengalaman bersama Singapore Airlines adalah satu perjalanan yang lancar dan bersepadu, pelaburan besar ini dirancang untuk memberikan keselesaan, pilihan, dan kemudahan lebih baik pada setiap peringkat perjalanan.
"Pelancaran ini bukanlah titik penamat, sebaliknya satu lagi langkah dalam usaha berterusan kami untuk meraih serta mengekalkan kepercayaan dan kesetiaan pelanggan serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam industri penerbangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut SIA, pesawat 777-9 akan menampilkan keempat-empat produk kabin baharu, iaitu kelas pertama, kelas perniagaan, kelas ekonomi premium dan kelas ekonomi.
Selain itu, 41 pesawat A350-900 (jarak jauh dan jarak ultra-jauh) yang akan diubah suai itu akan dilengkapi dengan kerusi kelas perniagaan baharu, manakala kelas pertama akan diperkenalkan buat kali pertama pada pesawat A350-900ULR.
"Sistem hiburan dalam penerbangan KrisWorld generasi seterusnya akan menawarkan pengalaman hiburan lebih menarik, berciri sinematik, dan disesuaikan mengikut kehendak pengguna.
“Kesalinghubungan internet berkelajuan tinggi melalui Starlink pada pesawat-pesawat tertentu akan membolehkan pelanggan menstrim kandungan, berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan serta bekerja menggunakan peranti peribadi mereka semasa dalam penerbangan," menurut syarikat penerbangan itu
Sementara itu, SIA juga telah menyalurkan lebih daripada S$130 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian, pemulihan dan peluasan ruang rehat SilverKris miliknya di seluruh dunia termasuk yang terletak di hab Lapangan Terbang Changi bagi menyediakan kemudahan tempat duduk, menjamu selera, bekerja, dan bersantai yang lebih baik untuk para penumpang.
-- BERNAMA