ATLANTA: Saluran berita antarabangsa CNN pada Sabtu mengumumkan pembaca berita Chris Cuomo ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat selepas firma guaman luar menyemak maklumat berhubung cara Cuomo membantu abangnya, bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo ketika dia berdepan dakwaan gangguan seksual.

Menurut laporan CNN Business, rangkaian televisyen itu menggantung Cuomo buat “selama-lamanya”.

Firma guaman baru-baru ini menyerahkan penemuan mereka dan menurut sumber yang mengetahui perkara itu, Presiden CNN Worldwide Jeff Zucker terus memecat Cuomo pada Sabtu.

Walaupun Cuomo sudah tidak akan lagi bersama CNN, penerbit dan kakitangan lain yang bekerja untuk program “Cuomo Prime Time” kekal dengan jawatan mereka.

Michael Smerconish, pembaca berita yang sebelum ini menggantikan Cuomo, akan menjadi pembaca untuk program itu selepas ini.

“Walaupun kakitangan itu ditamatkan perkhidmatan, tapi kami akan menyiasat mengikut kesesuaian.

“Semasa dalam proses semakan daripada firma guaman, maklumat tambahan juga ada didedahkan,” menurut kenyataan CNN.

Begitupun, jurucakap CNN enggan berkongsi sebarang butiran lanjut mengenai 'maklumat tambahan' itu.

Dalam satu kenyataan, Chris Cuomo berkata: “Ini bukan cara saya mahu karier di CNN berakhir, tetapi saya telah beritahu mengapa dan bagaimana saya membantu abang saya.

“Jadi izinkan saya sekarang mengatakan walaupun mengecewakan, saya amat berbangga dengan pasukan di Cuomo Prime Time dan hasil kerja kami menjulangnya sebagai rancangan #1 di CNN dalam slot masa paling kompetitif.

“Saya terhutang kepada mereka semua dan akan merindui kumpulan istimewa yang melakukan tugas yang sangat penting ini,” ujarnya.