Skip to main content

Malaysia

Angkasa cadang semua koperasi aktif jadi rakan niaga kedai MyKasih

Abdul Fattah (duduk, tengah) bergambar bersama ahli lembaga masjid selepas Majlis Perasmian Kabin Coop Mart Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad di Perkarangan Masjid Jamek Ismail Petra hari ini. - Gambar Bernama
Abdul Fattah (duduk, tengah) bergambar bersama ahli lembaga masjid selepas Majlis Perasmian Kabin Coop Mart Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra Tanah Merah Berhad di Perkarangan Masjid Jamek Ismail Petra hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

TANAH MERAH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mencadangkan semua koperasi berdaftar, termasuk koperasi masjid melengkapkan syarat kelayakan menjadi rakan niaga kedai MyKasih.

Presiden Angkasa Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata setakat ini terdapat 3,600 koperasi berdaftar direkodkan di seluruh negara, termasuk 730 koperasi masjid dan koperasi kabin kariah.

“Daripada jumlah itu, terdapat 1,400 koperasi yang aktif, namun hanya 277 yang berdaftar sebagai rakan strategik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setakat ini.

“Kami mahu semua 1,400 koperasi yang aktif itu, termasuk koperasi masjid, dapat memenuhi syarat untuk turut menyediakan perkhidmatan itu kepada pengguna bagi membolehkan mereka menjana pendapatan lebih lumayan,” katanya pada Majlis Perasmian Kabin Coop Mart Koperasi Kariah Masjid Ismail Petra di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi memohon kelonggaran syarat tertentu, terutama bagi koperasi yang terletak di kawasan luar bandar untuk menjadi rakan niaga MyKasih.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM15 juta kepada Angkasa tahun ini supaya 1,000 program Jualan RAHMAH dapat dilaksanakan.

“Kelebihan ini perlu direbut oleh semua koperasi dengan memastikan koperasi yang dibangunkan memenuhi syarat yang ditetapkan, termasuk memiliki lesen barangan kawalan dan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Beliau berkata pembangunan koperasi kariah masjid adalah antara usaha penting untuk memperkukuh ekonomi komuniti melalui semangat kerjasama, kebersamaan dan tanggungjawab sosial. 

“Masjid bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah mempunyai kekuatan sebagai pusat penyatuan masyarakat yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kegiatan ekonomi demi kesejahteraan anggota dan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Kongres Koperasi Kebangsaan memperuntukkan RM500,000 khusus bagi memperkasa koperasi kariah masjid di seluruh negara, sekali gus mencerminkan kepentingan gerakan koperasi dalam membuka peluang ekonomi kepada masyarakat. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement