DUBAI: Malaysia berharap banyak negara-negara dapat bersatu dengan komitmen kukuh dan harapan yang tinggi untuk menangani perubahan iklim semasa Persidangan ke-28 Pelbagai Pihak (COP28) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di sini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menerusi penyelesaian inovatif, amalan mampan dan inisiatif kerjasama, negara dengan bangganya akan mempamerkan peranannya sebagai peneraju serantau dalam menangani cabaran perubahan iklim, di Pavilion Malaysia.

"Perlu ada perasaan desakan, dan kesanggupan untuk bekerjasama.

"Ketika kita mengharungi kerumitan dalam rundingan perubahan iklim, kita perlu sedar bahawa keputusan kita hari ini akan membentuk dunia yang diwarisi kepada generasi akan datang," katanya pada majlis pelancaran Pavilion Malaysia untuk COP28 di Bandar Raya Ekspo Dubai, di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara rasmi melancarkan Pavilion Malaysia pada COP28 di sini, yang bermula dari 30 Nov hingga 12 Dis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Nik Nazmi berkata Malaysia telah menangani peranan penting berkaitan kewangan dalam perubahan iklim dengan menggesa negara maju menyumbang US$100 bilion (US$1=RM4.67) setiap tahun, yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB September lepas.

"Sementara itu usaha membangunkan strategi mitigasi jangka panjang akan menjadi kunci utama dalam membimbing perancangan dasar sektor dan rentas sektor selaras dengan matlamat Perjanjian Paris.

"Malaysia sedang merumuskan Strategi Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) dan Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), yang akan menjadi garis panduan komprehensif ke arah mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050," katanya.

Justeru beliau berkata antara keutamaan Malaysia ialah penggubalan rang undang-undang perubahan iklim, penubuhan dana penyesuaian nasional, dan pembangunan mekanisme pasaran karbon.


-- BERNAMA