Skip to main content

Dunia

Corbyn gesa siasatan awam, dakwa peranan UK dalam konflik Gaza

51605838358_JeremyCorbyn.jpg
Corbyn (foto) menyifatkan tindakan kerajaan sebelum ini sebagai serius, dan menggesa siasatan bebas dijalankan berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. -Gambar fail
Advertisement

LONDON: Bekas pemimpin Parti Buruh United Kingdom (UK) yang kini Ahli Parlimen bebas, Jeremy Corbyn membentangkan semula rang undang-undang bagi menuntut siasatan awam bebas terhadap dakwaan penglibatan Britain dalam konflik di Gaza.

Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata peranan yang dimainkan pentadbiran terdahulu dalam krisis itu tidak akan dilupakan, walaupun Perdana Menteri, Keir Starmer telah mengumumkan peletakan jawatan semalam.

 

 

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan sebelum ini sebagai serius, dan menggesa siasatan bebas dijalankan berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai.

“Keir Starmer telah pergi, tetapi kita tidak akan melupakan peranan yang dimainkan oleh kerajaannya dalam jenayah terbesar pada zaman kita.

"Hari ini, saya membentangkan semula rang undang-undang saya untuk siasatan bebas terhadap penglibatan Britain dalam pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Ahli Parlimen Britain itu pertama kali membentangkan rang undang-undang tersebut tahun lalu bagi menyiasat pembabitan UK dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza, termasuk pembekalan senjata, pesawat pengawasan serta penggunaan pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF).

Bagaimanapun, pentadbiran Starmer sebelum ini menolak rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua.

Tindakan itu mendorong Corbyn menganjurkan Tribunal Gaza selama dua hari yang mengumpulkan keterangan daripada warga Palestin, petugas perubatan, pekerja bantuan kemanusiaan serta pakar undang-undang.

Langkah terbaharu itu menambah tekanan politik terhadap kerajaan UK, baik dalam talian mahupun luar talian, bagi menuntut ketelusan berhubung dasar luar negara itu di Asia Barat.

Must Watch Video

Advertisement