KUALA LUMPUR: Hasrat sekumpulan kanak-kanak di Kampung Tun Razak, Ayer Keroh, untuk mendapatkan tiang gol baharu akhirnya menjadi kenyataan selepas permintaan mereka ditunaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menerusi perkongsian video di Instagram semalam menunjukkan kerja pemasangan tiang gol baharu selain menyerahkan bola sepak kepada kanak-kanak di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kerja membaik pulih padang turut dilakukan dengan menimbus lubang menggunakan pasir bagi memastikan kanak-kanak dapat bermain dengan lebih selesa.
"Saya berharap selepas ini adik-adik di sana boleh main bola dengan selesa," ujarnya menerusi video berkenaan.
Dalam rakaman itu, beberapa kanak-kanak turut menyambut baik sumbangan berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerk.
Pada 14 November lalu, tinjauan Astro AWANI di padang berkenaan mendapati tiang gol yang usang dan berkarat, selain keadaan padang yang berlopak.
Ketika ditemui pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu, kanak-kanak berkenaan menyuarakan hasrat untuk mendapatkan tiang gol baharu bagi menggantikan kemudahan lama yang telah patah.
Mereka turut berharap wakil rakyat yang dipilih dapat menyediakan jaring gol supaya aktiviti bola sepak di kawasan berkenaan dapat diteruskan dengan lebih selesa.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Keroh untuk penggal ketiga pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lalu.
Beliau memperoleh 14,078 undi dalam pertandingan empat penjuru, menewaskan pencabar terdekatnya, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam dengan majoriti 5,604 undi.
Dua lagi calon, Muhammad Muhaimin Lau Abdullah daripada Bersama memperoleh 1,932 undi, manakala Mohd Hamnaim Mohamad daripada Bersatu meraih 1,077 undi.