PROGRAM Pengedaran Vaksin Global (COVAX) mensasarkan untuk mengagihkan 520 juta dos vaksin COVID-19 ke Afrika pada tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan COVAX, Aurelia Nguyen, walaupun pihaknya merasakan tahap pengagihan pada masa ini dilihat perlahan, namun ia akan meningkat mulai September ini.

Kemudahan tersebut mengalami kelewatan antaranya berpunca daripada sekatan eksport India yang menghalang COVAX daripada mendapatkan dos dari Serum Institute of India.

Ia merupakan salah satu pengeluar vaksin terbesar dunia yang dibangunkan AstraZeneca.

Menurut Nguyen, setakat ini COVAX sudah mengagihkan 25 juta dos vaksin ke 44 negara Afrika.

Menjelang akhir suku pertama 2022, COVAX mensasarkan untuk membekalkan hampir 850 juta dos vaksin ke benua itu.

Benua Afrika antara yang terendah menerima dos vaksin.

COVAX kini mengadakan perbincangan dengan pemerintah India dan Serum Institute of India berhubung penghantaran semula bekalan dari negara itu menjelang akhir tahun ini.