Singapura mencatat 42 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 11 daripadanya adalah kes import dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu hari ini, kesemua kes import telah diserahkan notis kuarantin di rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan MOH setakat ini, ia berkata hanya ada satu kes dalam komuniti, melibatkan seorang warga Singapura sementara majoriti kes adalah daripada pekerja warga asing yang kini sedang dikuarantin.

Perangkaan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu mencecah 55,395.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu berkata kira-kira 22,500 pekerja masih berada dalam tempoh kuarantin.

Singapura mengklasifikasikan 763 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,195 kes komuniti dan 52,395 kes merupakan penghuni asrama.

Sejumlah 50,128 pesakit atau kira-kira 90 peratus daripada jumlah kumulatif kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Sementara itu, 104 kes disahkan masih lagi berada di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,094 pesakit yang bergejala ringan atau yang secara klinikal disahkan sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

-- BERNAMA