SINGAPURA: Lima rakyat Malaysia adalah antara 18 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada 1 Jun, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) republik itu.

Tiga daripadanya mempunyai kaitan dengan tiga kluster berbeza sementara dua dikategorikan sebagai kes tidak berkaitan buat masa ini, memetik data kementerian yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Sehingga tengah hari Selasa, Singapura melaporkan sejumlah 62,069 kes, 43 kluster terbuka dengan yang terbesar melibatkan Terminal Lapangan Terbang Changi iaitu tiga kluster dan 108 kes.

Kini terdapat 217 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik.

Sementara dua lagi pesakit dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan 11 lagi memerlukan sokongan oksigen. - BERNAMA