SATU kajian terbaharu mendapati pengguna vape yang dijangkiti COVID-19 lebih mudah menyebarkan virus itu kepada orang sekeliling dengan cara hembusan.

Kajian yang dimuat naik di portal kesihatan MedRxiv itu bagaimanapun masih belum dikaji semula dan disahkan oleh saintis lain.

Dapatan pakar dari Mexico, Itali dan New Zealand itu menyebut bahawa hembusan asap vape boleh menyebarkan ribuan partikel virus ke arah individu berhampiran.

Ia juga mampu menyebarkan virus COVID-19 sehingga 2 meter jaraknya, melepasi peraturan penjarakan fizikal United Kingdom (UK) iaitu 1 meter.

Pakar terbabit menggesa pengguna vape agar tidak melakukan aktiviti berkenaan ketika beratur, di perhentian bas, atau mana-mana kawasan awam yang orang ramai mempunyai risiko berada dalam kepulan asap vape.

Sementara itu, kajian oleh Public Health Ontario pula mendapati individu yang menggunakan vape mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap COVID-19.

Aerosol yang terhasil daripada produk vape boleh menyebabkan penyebaran virus apabila individu itu berada dalam jarak dekat dengan pesakit COVID-19.

Menurut kajian mereka, bukti sebelum ini telah menunjukkan kesan negatif vaping ke atas paru-paru, sekali gus meningkatkan risiko pengguna.

Selain itu, kajian tersebut turut menyebut bahawa sentuhan tangan ke mulut melalui penggunaan vape juga boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Sementara itu, portal Daily Mail UK melaporkan sekumpulan saintis yang menghasilkan model bagaimana virus boleh tersebar dalam kepulan asap nipis vape, bagaimana ia masuk ke dalam paru-paru, seterusnya ke mulut, dan dihembuskan semula.

Mereka turut membuat model yang sama menggunakan kepulan asap tebal vape yang meningkatkan risiko jangkitan sekitar 5 hingga 17 peratus.