BEIJING: China tidak lagi mengumumkan angka korban dan kes harian COVID-19 di seluruh republik itu bermula Ahad.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan langkah terbaharu itu sekali gus menamatkan amalan yang dibuat sejak awal 2020.

NHC bagaimanapun tidak memberi penjelasan lanjut mengenai perubahan dasarnya itu.

Bandar-bandar di seluruh China bergelut membendung jangkitan yang semakin meningkat, hingga mengakibatkan bekalan ubat berkurangan dan penggunaan wad hospital melebihi kapasiti.

Perkara ini berlaku selepas Beijing tergesa-gesa memansuhkan strategi sifar COVID-19 di republik itu.

Bagaimanapun, penamatan perintah ujian yang ketat menjadikan beban kes hampir mustahil untuk dikesan.

Manakala pihak berkuasa mengecilkan definisi perubatan kematian akibat COVID-19 dalam satu langkah yang dikatakan pakar akan menyekat jumlah korban dikaitkan dengan virus itu.

NHC memberitahu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) hanya akan menerbitkan maklumat mengenai wabak itu untuk tujuan rujukan dan penyelidikan.

Dalam pada itu, rakyat China yang melihat percanggahan besar antara statistik rasmi dan jangkitan dalam keluarga dan kalangan sosial mereka, menyambut keputusan itu secara sinis.

Terdapat dalam kalangan pengguna media sosial seperti Weibo, sebagai contoh, yang menuduh kerajaan sengaja berbuat demikian untuk meneruskan 'penipuan' tentang COVID-19 di China.

Sementara yang lain pula enggan mempercayai bahawa terdapat jumlah mayat yang tinggi dengan kematian berpunca daripada COVID-19.

Walaupun media kerajaan sebahagian besarnya tidak menghiraukan lonjakan jumlah mayat yang tiba di krematorium, mereka sedikit sebanyak berkata hospital mengalami tekanan akibat kemasukan pesakit dan kekurangan bekalan ubat antidemam.