Kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 47,000 iaitu tambahan 1,051 kes baharu bagi tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 35 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah keseluruhan kematian sehingga kini 2,535 orang.

"Kes positif kini 47,896 manakala 13,348 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 741 kes, diikuti provinsi Jakarta (594 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (167) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA