SHANGHAI: Disney Resort Shanghai menghentikan operasi serta-merta dalam mematuhi langkah pencegahan COVID-19 bermula Isnin.

Memetik laporan Reuters, semua pengunjung dan tetamu yang ada di premis tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu dan hanya dibenarkan beredar sekiranya keputusan pemeriksaan COVID-19 adalah negatif.

Dalam pada itu, Disney Resort Shanghai memaklumkan menghentikan operasi bermula jam 11.39 pagi waktu tempatan (03:39 GMT) dan kawasan sekitarnya termasuk premis beli-belah bagi mengekang penularan wabak.

Kerajaan Shanghai menerusi akaun WeChat rasminya memberitahu taman tema itu menghalang orang ramai daripada masuk atau keluar dan semua pelawat di dalam tapak itu perlu menunggu keputusan ujian mereka sebelum keluar.

Sementara itu, pengunjung  yang datang ke taman tema itu sejak 27 Okt perlu melakukan ujian COVID-19 tiga kali dalam tempoh tiga hari.

Namun begitu, Kerajaan Shanghai mahupun pusat peranginan Disney tidak mengeluarkan sebarang butiran lanjut setakat ini.

Sabtu lalu, Disney Shanghari Resort memaklumkan mengurangkan tenaga kerja dan memendekkan waktu operasi dalam mematuhi langkah keselamatan COVID-19.

Walau bagaimanapun, pengguna media sosial memberitahu aktiviti di dalam taman tema diteruskan bagi pengunjung yang terperangkap di dalam.

Shanghai melaporkan 10 kes penularan wabak COVID-19 tidak bergejala pada 30 Oktober. Ini juga merupakan penutupan kali kedua selepas Disney Resort Shanghai ditutup selama tiga bulan awal tahun ini.

Taman tema itu pernah ditutup selama dua hari pada November tahun lalu yang menyaksikan lebih 30,000 pengunjung terperangkap di dalam.

Video yang beredar di platform Weibo China pada hari Isnin menunjukkan orang ramai bergegas ke pintu pagar taman yang sudah dikunci.