PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan atau darurat semata-mata bukan kaedah yang akan menamatkan pandemik COVID-19.

Sebaliknya, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebre-Yesus, kawalan pergerakan adalah bertujuan mengurangkan tekanan dihadapi petugas kesihatan di hospital.

"Meminta penduduk supaya kekal berada di rumah ialah tindakan melengahkan dan mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan.

"Tetapi, kaedah ini semata-mata tidak akan menamatkan epidemik ini," katanya pada sidang media di Geneva pada Rabu.

Beliau menegaskan, pendekatan lebih spesifik diperlukan untuk mengelak virus berkenaan daripada menular.

"Kami memahami negara-negara ini mencuba beberapa pendekatan. Jawapannya bergantung kepada apa yang dilakukan kerajaan mereka ketika perintah berkurung dilaksanakan.

"Tetapi kaedah ini semata-mata tidak akan menamatkan pandemik ini," tambahnya.

Dr Tedros turut melahirkan kebimbangan berhubung jumlah korban yang meningkat akhir-akhir ini sebelum pandemik boleh diisytiharkan berakhir.

"Kami menyeru semua negara yang telah memperkenalkan 'lockdown' (langkah menghentikan operasi) supaya menggunakan masa ini untuk memerangi virus berkenaan," tambah Dr Tedros.

Katanya, "anda telah mencipta peluang kedua. Persoalannya, bagaimana anda menggunakannya?"

Justeru, beliau menggariskan enam tindakan penting yang perlu diambil oleh semua negara di dunia dalam memerangi virus itu.

Berikut enam "tindakan utama" yang disyorkan WHO untuk menghentikan COVID-19:

1. Memperluas, melatih dan mengerahkan tenaga kerja penjagaan kesihatan dan awam

2. Melaksanakan sistem untuk mengesan setiap kes yang disyaki di peringkat komuniti

3. Meningkatkan kapasiti pengeluaran dan ketersediaan ujian

4. Mengenal pasti, menyesuai dan melengkapkan kemudahan yang diperlukan untuk merawat serta mengasingkan pesakit

5. Membangunkan rancangan serta tindakan yang jelas untuk mengkuarantin kontak; dan

6. Menggerakkan seluruh jentera kerajaan untuk fokus kepada usaha mengekang dan mengawal COVID-19