Tiga akta dipinda tahun depan bagi pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF

Ahmad Maslan berkata pindaan itu antara lain melibatkan peruntukan kesalahan tidak membayar tol dan pelaksanaan penguatkuasaan berkaitan sistem kutipan berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga undang-undang iaitu Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Perbadanan) 1980 akan dipinda tahun depan bagi membolehkan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di negara ini.
Ringkasan AI
- Pindaan kepada tiga undang-undang utama, iaitu Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Perbadanan) 1980 akan dilaksanakan tahun depan bagi membolehkan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di Malaysia.
- Penguatkuasaan terhadap pelanggaran tidak membayar tol serta pelaksanaan MLFF akan dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
- Ahmad Maslan menegaskan bahawa pelaksanaan MLFF tidak melibatkan kos tambahan kepada kerajaan, kerana ia dilakukan sepenuhnya oleh pihak konsesi untuk manfaat pengguna jalan raya, dengan tujuan mengelakkan kesesakan di plaza tol.
"Ketika ini, kemungkinan besar Lembaga Lebuhraya Malaysia yang akan melaksanakan daripada aspek penguatkuasaan itu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai garis masa pelaksanaan sistem MLFF di semua lebuh raya dikendalikan oleh 33 pemegang konsesi di seluruh negara.
Ahmad berkata pindaan yang perlu dilakukan terhadap ketiga-tiga akta merupakan antara faktor yang menyebabkan berlaku kelewatan kepada pelaksanaan MLFF di negara ini.
Menjawab soalan tambahan Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kos pelaksanaan MLFF terhadap kerajaan yang didakwa mencecah RM3 bilion, beliau berkata pelaksanaan sistem itu kini dilakukan sepenuhnya oleh pihak konsesi.
"Bila sudah dilakukan sepenuhnya oleh (pihak) konsesi secara Perniagaan kepada Perniagaan (B2B), ia tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan, jadi tiada lagi melibatkan kos-kos termasuk RM3 bilion itu.
"Pelaksanaan MLFF ini juga kita pastikan pengguna tidak ada dikenakan cas tambahan kerana MLFF ini dibuat pun bagi kepentingan pengguna kerana kita tidak mahu pengguna jalan jauh-jauh dah elok di lebuh raya tiba-tiba sesak berjam-jam di plaza tol," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


