PENINGKATAN jumlah pesakit COVID-19 di seluruh dunia turut menyebabkan pasukan perubatan mengalami masalah apabila sumber peralatan bantuan kesihatan sedia ada tidak mencukupi.

Isu ini menjadi satu cabaran besar bagi petugas perubatan dan kesihatan di banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan proses rawatan kepada pesakit yang mempunyai masalah pernafasan.

Bandaraya New York tidak terkecuali.

Peralatan perubatan paling penting dalam rawatan pesakit COVID-19 adalah ventilator yang sangat mahal dan terhad di kebanyakan hospital.

Sehubungan itu, sebuah alat alternatif diberi nama Spiro Wave dicipta dengan kos lebih murah.

Memetik laporan The New York Times, alat ini merupakan sebuah projek yang dikendalikan oleh dua orang pengasas firma teknologi dan kejuruteraan, 10XBeta, Scott Cohen dan Marcel Botha sejak Mac lalu.

Mereka berasa terpanggil untuk mencipta satu inovasi alat bantuan pernafasan dengan kos yang rendah apabila menyedari lonjakan kes yang amat tinggi di Itali yang menyebabkan sumber peralatan bantuan pernafasan semakin terhad.

“Saya ragu-ragu pada awalnya. Ia kelihatan mustahil untuk mencipta sebuah alat alternatif dalam masa yang singkat dengan kos rendah bagi menangani isu kekurangan peralatan di hospital ketika ini,” kata Botha.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan berubah apabila mereka menemui prototaip alat bantuan pernafasan kos rendah yang dicipta oleh sekumpulan pelajar di Massacheusets Institute of Technology (MIT) beberapa tahun dahulu.

Katanya, reka bentuk daripada prototaip tersebut digunakan sebagai asas penciptaan Spiro Wave dengan mendapat kerjasama ramai saintis, jurutera dan pakar kesihatan.

Proses menyiapkan projek itu mengambil masa sebulan sahaja dan ia juga sudah diluluskan oleh Badan Pemakanan dan Perubatan (FDA) untuk kegunaan waktu kecemasan 19 April lalu.

Tujuan mesin ini bagaimanapun bukan untuk menggantikan mesin bantuan pernafasan sedia ada, namun bertujuan membantu memudahkan pesakit kurang kritikal untuk bernafas dengan lebih mudah.

Ini kerana, pesakit yang berada dalam keadaan kritikal akan memerlukan alat bantuan pernafasan sedia ada yang mempunyai tahap keupayaan lebih tinggi.

Untuk rekod, jumlah kes aktif COVID-19 di New York telah mencapai jumlah yang kritikal iaitu 124,000.