JUMLAH kes positif COVID-19 di India pada Khamis memecah rekod harian global dengan 314,835 kes baharu.

Hospital di serata negara melaporkan jumlah katil, bekalan perubatan dan oksigen berada pada tahap kritikal.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di India adalah lebih 15.9 juta, kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Menurut Kementerian Kesihatan India, angka kematian meningkat 2,104 sepanjang 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan korban mencecah 184,657 pada Khamis.

Pada Rabu, Mahkamah Tinggi New Delhi mengarahkan kerajaan menyalurkan bekalan oksigen dari industri ke hospital bagi tujuan menyelamatkan nyawa.

Menurut Presiden Yayasan Kesihatan Awam India Dr K Srinath Reddy, masyarakat semakin selesa dan leka selepas angka kes positif menurun pada musim sejuk.

"Kita jatuh ke zon selesa kerana pelbagai ukuran pandemik, sama ada jumlah kes harian atau jumlah kematian, malah kadar kes positif, semuanya mulai menurun sejak Oktober.

"Dan pada awal Januari, ia jatuh ke tahap yang sangat rendah. Juga, wujudnya satu perasaan yang kita telah mencapai imuniti kelompok," katanya.