LONDON: Badan penasihat bebas kerajaan Britain mengenai vaksin COVID-19 menyarankan individu berusia antara 18 tahun hingga 39 tahun ditawarkan vaksin penggalak.

Ia sebahagian daripada usaha untuk menangani varian Omicron baharu yang berpotensi lebih mudah menular.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) Prof Dr Wei Shen Lim, dos penggalak untuk semua kumpulan umur harus diberikan tiga bulan selepas dos kedua.

"Kami nasihatkan agar program penggalak perlu diperluas kepada orang dewasa berumur 18 hingga 39 tahun.

"Ini adalah tambahan kepada program penggalak sedia ada. Bermakna mulai sekarang, semua orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas layak mendapatkannya.

"Nasihat kedua ialah program penggalak harus mengikut keutamaan berdasarkan umur dan berada dalam kumpulan berisiko.

"Dengan kata lain, seseorang yang mempunyai masalah kesihatan yang meletakkan mereka lebih berisiko dijangkiti COVID-19," kata dr Shen Lim.

Mengikut saranan baharu ini bermakna kira-kira 13 juta lagi individu layak menerima dos penggalak.

Sehingga kini, hanya individu berumur lebih 40 tahun yang layak.

Dalam saranan lanjut, jawatankuasa itu berkata golongan muda berumur 12 hingga 15 tahun harus ditawarkan dos kedua vaksin Pfizer, 12 minggu selepas vaksin pertama mereka.

Ia juga berpendapat individu yang mengalami gangguan imun yang serius harus ditawarkan dos keempat tiga bulan selepas dos ketiga mereka.