SEOUL: Kes baharu COVID-19 di Korea Selatan menurun kepada paras terendah untuk tempoh 11 minggu namun terdapat peningkatan dalam kes import.

Sejumlah 43,953 jangkitan baharu dilaporkan termasuk 135 kes import menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 29,698,043, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Jumlah kes yang direkodkan pada Khamis itu adalah yang terendah sejak 27 Okt, lapor Yonhap memetik KDCA.

Sepanjang tempoh itu juga 76 kematian dilaporkan menjadikan korban secara keseluruhan berjumlah 32,821. Bilangan pesakit kritikal pula sebanyak 510 kes menurun sebanyak 30 kes berbanding hari sebelumnya.

Kerajaan Korea Selatan telah meningkatkan pemantauan untuk pelawat luar negara di tengah-tengah lonjakan jangkitan di China baru-baru ini berikutan pemansuhan dasar sifar COVID-19.

Daripada 135 kes baharu import yang dilaporkan pada Khamis sebanyak 90 atau 66.6 peratus membabitkan mereka dari China, menurut KDCA.

-- BERNAMA