JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini melepasi 80.18 juta.

Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 18.8 juta kes.

Ini diikuti India dengan 10.16 juta kes dan Brazil dengan 7.44 juta kes.

Negara yang melepasi angka 2 juta kes ialah Rusia, Perancis, United Kingdom, Turki dan Itali.

Manakala Sepanyol, Jerman, Colombia, Argentina, Mexico dan Poland antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.



Afrika Selatan, Belanda, Indonesia, Czechia dan Belgium pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Sejumlah 37 negara lain merekodkan angka positif antara 100,000 dan 300,000 kes.

Malaysia berada di tangga ke-75 kes tertinggi di dunia, lebih tinggi berbanding China, Singapura dan Korea Selatan.


Angka kematian global cecah 1.75 juta

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.75 juta.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 331,495 kes.



Ini diikuti Brazil, India dan Mexico yang merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, United Kingdom, Perancis, Iran dan Rusia.

Manakala negara yang merekodkan antara 30,000 dan 50,000 kes kematian adalah Sepanyol, Argentina, Colombia dan Peru.

Jerman, Poland, Afrika Selatan dan Indonesia pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

10 negara lain merekodkan antara 10,000 dan 20,000 kes kematian.