JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 237 juta.

Menurut data Johns Hopkins University, berikutan lebih 500,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, angka terkini kes positif global ialah 237,088,590.

Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 44.2 juta kes, diikuti India (33.9 juta) dan Brazil (21.5 juta).

United Kingdom (UK) kini mencatat lebih 8 juta kes positif COVID-19, manakala Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.

Argentina mencatat kes positif melebihi 5 juta, diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan 4,224,487 kes, diikuti Filipina dengan 2,643,494.

Sementara itu, Malaysia merekodkan 2,313,727 kes positif, Thailand 1,689,437 kes dan Singapura 120,454  kes.

Angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia pula kini berjumlah 4,840,077.

Data Johns Hopkins University menunjukkan, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 712,122 kes.

Ini diikuti Brazil dengan 599,810 kes, India 450,127 kes, Mexico 281,121 kes.

Rusia mencatat 210,673 kematian, United Kingdom, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Jerman merekodkan angka korban sebanyak 94,150 sementara Sepanyol 86,778.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan 142,560 kes kematian.

Filipina di tangga kedua tertinggi dengan 39,232 angka korban, diikuti Malaysia dengan 27,113 kes dan Thailand 17,534.