KUALA LUMPUR:Virus COVID-19 mampu mengurangkan kualiti sperma, sekaligus menjejaskan kadar kesuburan dalam kalangan kaum lelaki, menurut satu kajian yang berdasarkan bukti eksperimen.

Menurut agensi berita AFP, pandemik yang telah meragut sekitar 2.2 juta nyawa di seluruh dunia itu, boleh membunuh sel sperma, menyebabkan keradangan, dan juga tekanan oksidatif.

“Dapatan dari kajian ini menyediakan bukti eksperimen secara terus, bahawa sistem pembiakan lelaki telah menjadi sasaran dan seterusnya dirosakkan COVID-19,” agensi itu memetik laporan kajian Reproductive.

Bagaimanapun pakar lain berpendapat kuantiti virus yang diperlukan untuk menjejaskan sistem pembiakan itu masih belum terbukti.

Laporan itu menyebut analisa dilakukan setiap 10 hari dalam jangka masa 60 hari ke atas 84 lelaki yang mengidap COVID-19, dan dibandingkan dengan data yang diperolehi daripada 105 lelaki yang sihat.

Behzad Hajizadeh Maleki dan Bakhtyar Tartibian dari Justus-Liebig-University, Jerman, teah menjalankan kajian ke atas penanda biologi yang mungkin memberi indikasi wujudnya impak negatif ke atas sistem pembiakan lelaki.

Menurut kajian mereka, jumlah sel sperma di kalangan pesakit lelaki menunjukkan peningkatan penanda yang menyebabkan keradangan, serta tekanan oksidatif, sejenis situasi ketidakseimbangan kimia yang boleh merosakkan DNA dan protein dalam badan.

“Kesan situasi ini ke atas sel sperma sering dikaitkan dengan kualiti sperma yang rendah, serta mengurangkan potensi pembiakan,” menurut Maleki dalam kenyataan itu lagi.

BACA: Pakai seluar ketat, ketuhar mikro antara punca kesuburan lelaki susut?

BACA: Pencemaran udara boleh akibatkan ketidaksuburan sperma lelaki - kajian

BACA: Sauna boleh kurangkan bilangan sperma