Mahkamah benar anak pengasas Sapura fail bantahan terhadap pengesahan hibah bapa

Shamsuddin, 94, memfailkan permohonan itu pada 2 Sept untuk memohon pengesahan pemberian hibah kepada anak sulung dan anak keduanya. - Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan ahli perniagaan Tan Sri Shahril Shamsuddin mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan bapanya, pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir bagi pengesahan pemberian hibah 14.8 juta unit saham syarikat.
Shamsuddin, 94, memfailkan permohonan itu pada 2 Sept untuk memohon pengesahan pemberian hibah kepada anak sulungnya Shahril, 64, dan anak keduanya, Datuk Shahriman Shamsuddin, 56, yang masing-masing memperoleh pegangan 14.8 juta unit saham pada 28 tahun lepas.
Pengesahan itu susulan permohonan Shamsuddin untuk membatalkan pemberian hibah kepada Shahril, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Group, atas faktor peribadi.
Pada prosiding hari ini, Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail dalam keputusannya mengarahkan Shahril untuk menfailkan bantahan awal itu dalam tempoh tiga minggu.
"Defendan pertama (Shahril) dibenarkan memfailkan notis usul untuk bantahan berserta afidavit sokongan," kata hakim syarie itu yang menetapkan 24 Feb 2026 untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili Shahril memaklumkan kepada mahkamah bahawa hibah yang sedang dipertikaikan adalah fasid (tidak wujud) dan pihaknya mengemukakan bantahan awal bagi membuktikan dakwaan-dakwaan plaintif (Shamsuddin) adalah tidak berasas.
Namun, peguam syarie Suhaimi Saad yang mewakili Shamsuddin membantah permohonan itu atas alasan tiada sebarang unsur kekhilafan dalam tuntutan pengesahan hibah oleh anak guamnya.
"Seorang bapa mempunyai hak penuh untuk menarik balik sebarang bentuk hibah yang diberikan kepada anaknya pada bila-bila masa dan kami percaya kami mempunyai locus standi, selain tuntutan ini (permohonan pengesahan hibah) adalah bermerit," katanya.
Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Shahriman berkata anak guamnya tidak membantah permohonan pengesahan hibah oleh plaintif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


