PYONGYANG: Korea Utara melaporkan lapan kematian baharu akibat COVID-19 dan 392,920 kes baharu dengan simptom susulan penularan virus di negara itu.

Angka terbaharu itu menyusul selepas Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mendedahkan berlakunya kelewatan dalam pengagihan perubatan oleh pihak pentadbiran.

Jong Un turut mengarahkan pasukan tenteranya untuk membantu bagi menguruskan pandemik di Pyongyang.

Setakat ini, menurut pasukan kecemasan antivirus Korea Utara, lebih 1.2 juta dilaporkan mengalami simptom selepas berlakunya penularan kes COVID-19 sejak akhir April dengan kira-kira 564,860 kini dalam proses kuarantin.

Lapan kematian baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah keseluruhan kematian ketika ini di negara itu adalah 50 kes.

Media tempatan masih belum menjelaskan berapa jumlah kes yang mengalami simptom dan kematian yang disahkan akibat COVID-19.

Dalam satu mesyuarat pada Ahad, Kim mengkritik kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan selepas yang disifatkannya sebagai respon yang lemah terhadap pandemik.

Difahamkan bekalan ubat-ubatan tidak diagihkan kepada farmasi dalam masa yang ditetapkan kerajan etika kerja yang tidak bertanggungjawab dan sistem organisasi yang lemah.