Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 35 juta.

Ini berikutan lebih 290,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 7.41 juta kes jangkitan.

Ini diikuti India dengan 6.55 juta kes, manakala Brazil merekodkan 4.9 juta kes.

Jangkitan COVID-19 di Rusia pula melepasi angka 1.21 juta kes.

Sementara itu Colombia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan dan Perancis melepasi angka setengah juta kes.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes jangkitan COVID-19 ialah United Kingdom, Chile, Iran, Iraq, Bangladesh dan beberapa negara lain.

Manakala negara yang melepasi angka 100,000 hingga 200,000 ialah Jerman, Indonesia, Ukraine, Kanada, Ecuador, Bolivia dan Qatar.

Negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000.