Pengembara dari 17 negara dan yang bersempadan dengan Thailand perlu mengemukakan sijil kesihatan dan polisi insurans dengan perlindungan perubatan bagi COVID-19 apabila berada di negara ini.

Bagi rakyat Thailand yang pulang ke tanah air, mereka perlu mengemukakan sijil kesihatan yang mengesahkan mereka boleh menaiki pesawat dan surat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Thailand, Konsulat General atau Kementerian Luar.

Ia adalah garis panduan terbaharu kepada pengendali penerbangan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Kementerian Kesihatan Awam menamakan China, Hong Kong, Macau, Korea Selatan, Iran dan Itali sebagai Zon Jangkitan Penyakit COVID-19, manakala kawasan transmisi tempatan ialah Perancis, Sepanyol, Amerika Syarikat, Switzerland, Norway, Denmark, Netherlands, Sweden, Great Britain, Jerman dan Jepun (Hokkaido, Tokyo, Aichi, Wakayama, Kanagawa, Chiba, Okinawa, Kyoto dan Osaka).

Ketua Pengarah CAAT, Chula Sukmanop berkata, penumpang penerbangan dari luar perlu mengemukakan sijil kesihatan yang disahkan 72 jam sebelum tarikh penerbangan bagi membuktikan mereka bebas daripada virus itu.

“Syarikat penerbangan hendaklah memeriksa polisi insurans penumpang yang menunjukkan perlindungan perubatan minimum bagi COVID-19 di Thailand, dalam jumlah tidak kurang daripada USD$100,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Chula berkata, sekiranya penumpang mempunyai sejarah perjalanan ke Zon Jangkitan Penyakit atau ke Kawasan Transmisi Tempatan dan gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan itu, mereka tidak akan diserahkan pas berlepas dan mendarat.

Beliau berkata, penumpang yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari sebelumnya di negara yang disenaraikan itu hendaklah menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Beliau berkata, penumpang perlu menyediakan maklumat mengenai alamat di Thailand dalam Borang T 8 yang tertakluk di bawah Akta Penyakit Mudah Berjangkit B.E. 2558(2015) dan diserahkan kepada pegawai kawalan penyakit mudah berjangkit di tempat pemeriksaan pendaratan di lapangan terbang.

Beliau berkata, penumpang juga boleh memasukkan maklumat dalam borang permohonan “AOT Airport of Thailand”.

“Pengendali penerbangan perlu melaksanakan langkah perlindungan dalam pesawat termasuk pengaturan tempat duduk untuk penumpang dengan jarak selebar mungkin daripada satu sama lain apabila mengeluarkan pas berlepas. Ruang yang sesuai dalam kabin penumpang perlu diperuntukkan bagi mengawasi penumpang yang mengalami demam, batuk atau sakit jika perlu,” katanya.

Chula berkata, pegawai kawalan penyakit dari Thailand diberi kuasa untuk melakukan pengasingan dalam pesawat dan penumpang yang dikuarantin.

“Syarikat penerbangan dikehendaki bertanggungjawab terhadap perbelanjaan dan kos rawatan yang dikenakan ke atas penumpangnya yang perlu melalui kuarantin atau dimasukkan ke hospital,” katanya.

Sehingga Khamis, Thailand mencatatkan 272 kes COVID-19 dengan satu kematian.

-- BERNAMA