PARIS: Perancis merekodkan 94,124 jangkitan baharu COVID-19 pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 8.98 juta.

Kerajaan akan mengadakan satu mesyuarat khas berkenaan COVID-19 pada Isnin yang mungkin menyaksikan sekatan baharu dilaksana di negara berkenaan.

Jumlah kemasukan ke hospital turut melonjak kepada 16,200 kes, angka tertinggi sejak tujuh bulan lalu, menurut data rasmi kerajaan.

Sebanyak 167 kes kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan korban sebanyak 122,462.

Dalam satu kenyataan oleh Istana Presiden pada Jumaat, Presiden Emmanuel Macron bakal mengadakan mesyuarat khas COVID-19 pada Isnin, disusuli dengan mesyuarat kabinet.

Perancis bercadang untuk meluluskan undang-undang baharu bagi mewajibkan pas kesihatan kepada mereka yang ingin mengunjungi panggung wayang serta bar berkuat kuasa pada pertengahan Januari.

Pas tersebut akan diberikan kepada mereka yang menunjukkan keputusan negatif COVID-19 dan bukan hanya mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Kerajaan berharap langkah tersebut boleh membendung penularan pantas varian Omicron yang telah menyebabkan 20 peratus daripada jangkitan baharu di negara itu.