PARIS: Perancis meningkatkan tekanan terhadap individu tidak mendapat vaksin COVID-19.

Negara itu merekodkan 208,000 kes baharu pada Rabu, sebahagian besarnya akibat varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran mempertahankan rancangan kerajaan untuk membenarkan hanya mereka yang diberi vaksin sepenuhnya menikmati akses berterusan ke tempat-tempat seperti restoran, pawagam, teater, muzium dan arena sukan.

Pas itu juga diperlukan untuk kereta api jarak jauh dan penerbangan domestik.

Veran berkata rekod jumlah jangkitan bermakna lebih daripada dua orang Perancis diuji positif setiap saat untuk COVID-19.

Veran menganggarkan bahawa kira-kira 10 peratus penduduk Perancis telah berhubung baru-baru ini dengan seseorang yang dijangkiti virus itu.

Beliau juga menasihati orang yang paling terdedah yang belum mendapat suntikan penggalak untuk melindungi diri daripada jangkitan.

Mempercepatkan pengenalan pas vaksin ini sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menggalakkan vaksinasi.

Kerajaan mahu pas vaksin dikuatkuasa sepenuhnya pada pertengahan Januari.

Pengundian bagi rang undang-undang berkaitan pas vaksin ini di Parlimen dijangka dipercepatkan.

Jika diluluskan, orang yang tidak divaksinasi tidak lagi boleh menggunakan keputusan ujian negatif untuk mengakses tempat di mana pas vaksin diperlukan.

Mereka yang tidak diberi vaksin tetapi mempunyai bukti pemulihan COVID-19 akan mendapat pas vaksin terhad kepada tempoh enam bulan selepas jangkitan.