Susulan arahan untuk ‘duduk rumah’ semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan serta trend penggunaan pengangkutan di peringkat global yang turut terjejas, Waze mendedahkan berlaku pengurangan penggunaan aplikasi pemanduan arah yang drastik.

Ia meliputi jumlah jarak yang berkurangan sebanyak 80 peratus berbanding purata harian pada Februari lalu.

.

Sehubungan itu, syarikat aplikasi pemanduan arah itu mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan rangkaian komuniti dan rakan-rakan kongsinya menerusi Komuniti Sukarelawan, program Waze for Cities, serta beberapa inisiatif lain.

Menerusi kenyataan pada Khamis, Waze berkata data menunjukkan bahawa di seluruh dunia, kebanyakan negara telah mengurangkan pemanduan secara mendadak.

“Secara global, pengguna Waze memandu 60 peratus kurang daripada perangkaan purata harian bulan Februari untuk tempoh dua minggu (11 Februari 2020 - 25 Februari 2020),” katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan bahawa terdapat juga perjalanan asas yang perlu dibuat setiap hari.

“Contohnya pembelian keperluan asas harian, mendapatkan rawatan kesihatan, atau menunaikan kewajipan kerja bagi golongan dalam kategori perkhidmatan penting,” katanya.

.

Dalam pada itu, sebagai sebuah aplikasi yang dilengkapi ‘real time reporting tool’, Waze percaya bahawa datanya boleh membantu pengguna merancang perjalanan mereka dengan lebih efektif.

“Untuk menyokong usaha ini, komuniti Editor Waze dan pasukan tindak balas krisis Waze sedang bekerjasama dengan 58 buah negara (dan angka ini kian bertambah) untuk memuatkan data aktiviti bantuan yang khusus kepada rantau ini.

“Ini termasuk maklumat penutupan jalan, kawasan zon merah, dan sebagainya, kepada peta,” katanya.

Selain itu, Waze juga telah melancarkan sebuah laman utama COVID-19 yang menyeru kerajaan-kerajaan di serata dunia untuk menyumbangkan data lokasi pusat pemeriksaan kesihatan dan pusat pengagihan makanan kecemasan.

“Satu lagi inisiatif yang telah digerakkan dengan segera oleh Waze ialah sokongan kepada sistem pandu lalu dan pengambilan tepi jalan.

“Ia bertujuan mengurangkan keperluan untuk bersentuhan (contactless delivery) apabila menggunakan produk daripada rakan-rakan kongsi Waze yang merangkumi makanan dan keperluan asas lain,” jelasnya.

Syarikat itu berkata, perusahaan yang perlu mengemaskini maklumat mereka boleh berbuat demikian dengan beberapa langkah mudah atau boleh menghubungi pasukan sokongan Waze untuk bantuan.