ALASKA: Ketika Amerika Syarikat antara negara yang sudah menjalani kehidupan dengan wujudnya COVID-19, varian Delta yang lebih mudah menular kekal menjadi ancaman besar kepada beberapa kawasan pedalaman di Alaska.

Ini kerana kawasan tersebut mengalami kesukaran mendapatkan akses bagi tujuan rawatan.

Di Tanacross, sistem kesihatan yang serba kekurangan tidak seperti di bandar-bandar metropolitan di Amerika Syarikat nyata memberikan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Hospital terbesar di negeri itu menjadi bukti sistem kesihatannya masih serba kekurangan apabila petugas kesihatan terpaksa mengutamakan pesakit yang mempunyai peluang untuk diselamatkan.

Dengan kadar vaksinasi yang masih rendah kerana ia tidak diwajibkan kepada semua, penduduk di negeri itu menjadi lebih rentan terhadap wabak COVID-19.

Para penduduk mengkritik pihak pemerintah yang tidak mewajibkan pengambilan vaksin dan pemakaian pelitup muka.