Blok Afrika Barat gesa hormati kedaulatan Venezuela susulan operasi ketenteraan AS

ECOWAS menggesa komuniti antarabangsa supaya "menghormati kemerdekaan dan integriti wilayah" Venezuela susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penahanan Presiden Nicola Maduro dan isterinya.
KIGALI (Rwanda): Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) pada Ahad menggesa komuniti antarabangsa supaya "menghormati kemerdekaan dan integriti wilayah" Venezuela susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penahanan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya.
Dalam satu kenyataan, ECOWAS menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terbaharu di Venezuela, lapor Anadolu Ajansi.
Walaupun mengiktiraf hak setiap negara untuk memerangi jenayah antarabangsa, termasuk keganasan dan pengedaran dadah, "ECOWAS ingin mengingatkan komuniti antarabangsa tentang kewajipan mereka untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah antara satu sama lain seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Perkara 2 (4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu.
Sambil mengulangi solidariti bersama rakyat Venezuela, blok itu turut menyatakan sokongan kepada rakyat negara berkenaan dalam usaha mereka menentukan masa depan negara melalui proses yang inklusif.
Jumlah kematian akibat operasi ketenteraan AS di Venezuela pada Sabtu meningkat kepada 80 orang, lapor The New York Times awal Ahad.
Memetik kenyataan pegawai kanan Venezuela, akhbar itu melaporkan angka berkenaan dijangka terus meningkat.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino berkata sebahagian besar pasukan keselamatan Presiden Maduro telah terbunuh dalam operasi itu, namun tidak mendedahkan jumlah sebenar.
Presiden Donald Trump berkata, tindakan ketenteraan AS terhadap Venezuela telah berjaya menahan Maduro dan isterinya, Cilia Flores.
Beliau turut berikrar untuk mengekalkan kawalan Amerika ke atas negara itu buat masa ini, termasuk menggunakan tentera AS jika perlu.
Pasangan itu mendarat di New York lewat Sabtu dan kini ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan di Brooklyn. Mereka berdepan pertuduhan persekutuan AS berkaitan pengedaran dadah dan dakwaan bekerjasama dengan kumpulan yang dikategorikan sebagai organisasi pengganas.
Maduro menafikan tuduhan berkenaan, manakala pegawai di ibu negara Venezuela, Caracas menuntut pembebasan pasangan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


