PFIZER memulakan kajian peringkat pertengahan hingga akhir mengenai pil antiviral COVID-19 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun yang berisiko tinggi mendapat gejala teruk.

Pengeluar ubat itu merancang mendaftarkan 140 kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun dengan berat antara 20 kilogram hingga 40 kilogram mengikut kumpulan.

Pil Paxlovid keluaran Pfizer dibenarkan digunakan secara kecemasan di Amerika Syarikat untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dan orang dewasa berisiko tinggi, namun tiada rawatan antiviral untuk kanak-kanak yang lebih muda setakat ini.

Ketua Pegawai Saintifik Pizer, Mikael Dolsten berkata, sejak bermula pandemik itu, lebih 11 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun di Amerika Syarikat dikesan positif.

Ini mewakili hampir 18 peratus kes yang dilaporkan dan membawa kepada lebih 100,000 kemasukan ke hospital.

Pfizer juga berkata, pihaknya sedang berusaha membangunkan formulasi ubat sesuai dengan umur pesakit yang lebih muda daripada enam tahun.

Data daripada kajian peringkat pertengahan hingga akhir pada bulan November menunjukkan Paxlovid hampir 90 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital dan kematian berbanding plasebo pada orang dewasa yang berisiko tinggi mendapat penyakit yang teruk.