Sekurang-kurangnya 13 negeri di Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan darurat kesihatan akibat wabak COVID-19.

Selain Washington, California, Maryland, Utah, Kentucky, New York, Oregon, Florida dan New Jersey turut mengisytiharkan darurat.

Dua kematian masing-masing telah dilaporkan di California dan Florida manakala New Jersey melaporkan satu kematian.

Negeri-negeri terbaharu yang mengisytiharkan darurat ialah Arizona, North Carolina, Colorado dan Massachusetts.

Gabenor North Carolina, Roy Cooper memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan pakar kesihatan, pemimpin perniagaan dan pengurusan kecemasan di negeri.

Pada 29 Feb lalu, AS melaporkan kematian pertama akibat COVID-19 di Washington dan sehingga kini 23 kematian telah dicatatkan di negeri itu.

Jumlah kematian di AS kini ialah 28 orang dengan lebih 800 dijangkiti wabak berkenaan.