Singapura yang sedang merangka hala tuju pembukaan semula fasa ketiga dan keempat sektor ekonomi dan aktiviti sosial, mengesahkan pertambahan 15 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu adalah 57,654 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas dikeluarkan hari ini, terdapat lima kes import yang sudah pun diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

"Berdasarkan siasatan kami sehingga kini mendapati tiada kes komuniti," menurut kenyataan itu.

MOH memaklumkan pihaknya masih mengumpul maklumat penuh kes dan pengemaskinian akan dikeluarkan malam ini.

Dalam kenyataan penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian berkenaan mengklasifikasikan 1,025 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,243 kes komuniti dan 54,359 kes melibatkan penghuni asrama pekerja asing.

Menurut MOH, 57,291 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sejumlah 36 kes yang disahkan masih ditempatkan di hospital, namun tidak ada pesakit berada di unit rawatan rapi.

Sementara, 285 pesakit bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi diuji positif COVID-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 27 orang mati akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA