ICQS Wang Kelian dibuka semula

Rahimi berkata kawalan keluar masuk terhad bagi perjalanan penduduk kampung itu sahaja, selaras dengan saranan JKR menutup sementara laluan Bukit Wang Kelian. - Gambar Jabatan Penerangan Perlis
KANGAR: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Padang Besar yang ditutup sejak 23 Nov lepas dibuka semula berdasarkan keperluan semasa, namun buat sementara waktu ia terhad untuk kegunaan penduduk Kampung Wang Kelian.
Ringkasan AI
- Kompleks ICQS Wang Kelian dibuka semula selepas penutupan sementara sejak 23 Nov, namun hanya untuk kegunaan penduduk Kampung Wang Kelian sahaja berdasarkan saranan JKR dan keperluan semasa.
- Kawalan keluar masuk terhad bagi penduduk kampung itu, manakala laluan ke Wang Prachan, Thailand dibenarkan beroperasi sepenuhnya untuk memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan harian.
- Pembukaan semula laluan berpandu kepada permintaan penduduk setempat dan keperluan semasa, setelah insiden tanah runtuh semasa banjir di Perlis menyebabkan penutupan kompleks dan jalan utama menghala ke Wang Kelian.
"Buat sementara waktu penutupan laluan, maka perjalanan dari Wang Prachan hanya terhad sehingga simpang tiga Kampung Wang Kelian sahaja, iaitu sebelum SJR (Sekatan Jalan Raya), manakala perjalanan ke Wang Prachan dibuka khusus untuk penduduk Kampung Wang Kelian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pembukaan laluan itu hasil perbincangan bersama pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengambil kira permintaan penduduk setempat dan keperluan semasa.
Untuk rekod, berlaku insiden tanah runtuh di 11 lokasi sepanjang laluan utama yang menghubungkan Wang Kelian ke Wang Prachan yang berlaku semasa kejadian banjir di Perlis pada penghujung November lepas sehingga menyebabkan kompleks berkenaan dan jalan menghala ke Wang Kelian terpaksa ditutup.
Rahimi berkata jalan menghala ke Wang Kelian itu telah dibuka dengan jumlah kenderaan yang boleh melalui jalan itu dikawal pihak JKR dan polis bagi mengelakkan kesesakan, serta menjamin keselamatan pengguna memandangkan kerja pembaikan jalan masih dijalankan.
"Bagaimanapun, kemasukan kenderaan bagi tujuan kecemasan tidak menjadi sebarang halangan dan dibenarkan pada bila-bila masa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


