Sebanyak 51 kes baharu jangkitan COVID-19 direkodkan di Singapura dalam tempoh 24 jam lalu dengan tujuh daripadanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu sebanyak 56,404.

Menurut data ringkas Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, semua kes import berkenaan telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan setakat ini, kementerian berkenaan menyatakan terdapat satu kes dalam komuniti, yang merupakan warga Singapura.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Ahad, republik itu mengklasifikasikan 853 kes sebagai import, 2,218 kes komuniti dan 53,282 penghuni asrama.

Kementerian itu menyatakan, pada masa ini terdapat kira-kira 13,500 pekerja yang masih menjalani tempoh kuarantin.

"Pekerja ini akan diuji selepas tempoh kuarantin mereka tamat, dan kami menjangkakan jumlah kes kekal tinggi dalam beberapa hari akan datang sebelum jumlahnya mulai berkurangan," menurut kementerian itu.

Sejumlah 54,164 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sementara itu, terdapat 76 kes yang disahkan masih berada di hospital namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 2,086 pesakit yang bergejala ringan, atau secara klinikal didapati sihat tetapi masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu. Satu kluster baharu telah dikenal pasti pada Ahad di Homestay Lodge, 39, Kaki Bukit Avenue 3.

-- BERNAMA