HARARE: Sekurang-kurangnya dua kematian direkodkan di Zimbabwe sepanjang minggu lepas akibat wabak COVID-19 yang terus menghantui Zimbabwe walaupun sebahagian besarnya terkawal, kata kerajaan.

Menurut taklimat media Kementerian Penerangan, Publisiti dan Perkhidmatan Penyiaran Zimbabwe semasa mesyuarat Kabinet pada Selasa, dua kematian direkodkan minggu lalu sebagaimana berlaku pada minggu sebelumnya.

Pemangku Kesihatan dan Penjagaan Kanak-Kanak yang juga Menteri bagi Hal Ehwal Presiden dan Pemantauan Pelaksanaan Program Kerajaan, Dr Jorum Gumbo memberitahu Kabinet bahawa negara itu perlu terus mengutamakan vaksinasi walaupun wabak itu terkawal.

Kes kumulatif COVID-19 di Zimbabwe mencapai 265,152 kes dengan 259,195 daripadanya pulih manakala 5,695 kematian mewakili kadar pemulihan 98 peratus dengan 262 kes aktif direkodkan.

Bilangan kumulatif dos vaksin COVID-19 yang diberikan pula mencatatkan 7,331,697 untuk dos pertama, 5,493,480 untuk dos kedua dan 2,130,998 lagi untuk dos ketiga yang menyaksikan perlindungan vaksin nasional sebanyak 65.2 peratus daripada 65.1 peratus minggu sebelumnya.

Masyarakat digesa mendapatkan vaksin sambil melindungi diri mereka dengan mematuhi semua Langkah Kesihatan Awam dan Sosial COVID-19 yang disyorkan.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Gumbo menyatakan kepada Kabinet bahawa Zimbabwe mencatatkan 15 kematian daripada 2, 076 kes taun yang dilaporkan dengan kadar kematian 2.3 peratus.

Walaupun kesemua 10 wilayah mencatatkan kes positif, wilayah Manicaland, Matabeleland Selatan dan Harare menyumbang 83 daripada kes di negara itu.

Manicaland merekodkan 8 kematian diikuti Harare,3, Mashonaland Central, 2, dengan wilayah Mashonaland West dan Masvingo melaporkan satu kematian setiap satu. - BERNAMA