BANGKOK:Thailand akan memulakan program vaksinasi virus korona bulan depan dengan 50,000 dos vaksin AstraZeneca untuk golongan berisiko tinggi, lapor Reuters.

“Kami akan mulakan dengan petugas perubatan, individu berisiko tinggi dan kawasan tertentu,” ujar pegawai kanan kesihatan Sopon Mekton.

Petugas kesihatan di wilayah Samut Sakhon, yang menjadi titik penularan terbaru, menjadi yang terawal untuk divaksinasi, diikuti warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Agensi Perubatan dan makanan Thailand pada minggu lalu meluluskan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan kecemasan namun masih menunggu pelepasan daripada Sinovac Biotech.

Negara Gajah Putih itu telah menempah 2 juta dos vaksin berkenaan.

Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul pada Isnin berkata, daripada 200,000 dos awal yang diminta, AstraZeneca hanya akan membekalkan 150,000 dos dahulu, berikutan tempahan yang banyak.

Thailand setakat ini merekodkan hanya 13,687 jangkitan dan 75 kematian akibat COVID-19.

Kerajaan Thailand sering dikritik kerana mengambil masa yang lama untuk memperoleh vaksin sedangkan negara-negara jiran di Asia Tenggara sudah memulakan program vaksinasi atau mengesahkan penerimaan bekalan daripada pelbagai syarikat. Kritikan  itu bagaimanapun dinafikan kerajaan.

Seorang ahli politik, Thanathorn Juangroongruangkit, berkata strategi Thailand terlalu bergantung kepada tindakan sebuah syarikat, Siam Bioscience, iaitu sebuah firma di bawah pemilikan Raja Maha  Vajiralongkorn.

Syarikat itu akan menghasilkan vaksin Astrazeneca di peringkat tempatan untuk edaran serantau.

Dua pemimpin daripada protes anti-kerajaan sudah melancsrkan demonstrasi berskala kecil pada Isnin untuk membantah pemilihan Siam Bioscience sebagai syarikat tunggal.

Siam Bioscience menolak untuk mengulas tentang perkara itu, dan disokong oleh Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha.