BANGKOK:Thailand mencatat 28 kes baharu COVID-19 termasuk satu penularan tempatan dengan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan keseluruhan kes jangkitan dilaporkan kepada 4,237 dan 60 kematian.

Sejumlah 27 kes import COVID-19 dilaporkan termasuk enam warga Thai yang kembali dari bandar di sempadan Myanmar, Tachileik.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata kes penularan tempatan melibatkan seorang kakitangan perubatan berusia 27 tahun di sebuah hospital swasta di Bangkok yang merupakan kontak rapat kepada seorang pesakit yang disahkan positif.

Setakat ini, tujuh petugas perubatan berusia antara 25 hingga 40 tahun di Bangkok didapati positif selepas saringan.

Sementara itu Thaweesilp berkata dua lelaki Thai berusia 23 dan 27 tahun, seorang pelukis tatu dan seorang pekerja di sebuah kasino, empat wanita Thai berusia antara 33 hingga 37 tahun bekerja di pusat hiburan yang kembali dari Tachileik melalui Mae Sai di pusat pemeriksaan sempadan Chiang Rai pada Jumaat didapati positif dalam saringan COVID-19.

Beliau berkata rakyat Thai yang bekerja di bandar sempadan Tachileik mahu kembali ke kampung halaman berikutan lonjakan kes COVID-19 dan penutupan pusat-pusat hiburan di sana.

Setakat ini, lebih daripada 260 rakyat Thai bekerja di Tachileik telah kembali.

-- BERNAMA