PRESDIEN Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perintah berkurung selama empat hari di 31 wilayah bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam ucapannya pada Isnin, Erdogan berkata, perintah berkurung itu akan berkuatkuasa pada 23 April yang merupakan cuti umum di Turki dan berakhir pada tengah malam Ahad, 26 April.

Tujuan arahan itu dikuatkuasakan adalah untuk mengurangkan penyebaran wabak agar keadaan kembali normal selepas cuti Ramadan.

Beliau merujuk kepada cuti empat hari bermula 24 Mei di Turki pada penghujung bulan Ramadan.

Kerajaan Erdogan tidak melakukan perintah berkurung secara keseluruhan kerana bimbang akan kesan negatifnya terhadap ekonomi yang sudah semakin lemah.

Antara langkah lain termasuk perintah berkurung hujung minggu dan melarang mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan bawah 20 tahun untuk keluar rumah.

Kes positif di Turki meningkat 4,674 kes dalam tempoh 24 jam dengan keseluruhan merekodkan 90,980 kes.

Angka kematian pula menyaksikan pertambahan 123 kes menjadikan jumlah keseluruhan 2,140 kes.

Sementara itu, Erdogan juga menyatakan, Turki merancang untuk membawa pulang 25,000 rakyatnya yang berada di beberapa negara sebelum cuti Ramadan.

Dalam perkembangan lain, Erdogan menuduh kerajaan Syria mengambil kesempatan ketika dunia menentang pandemik koronavirus apabila meningkatkan serangan di barat laut, Syria yang dikuasai pemberontak dan melanggar gencatan senjata.

Erdogan mengugut akan mengambil tindakan terhadap kerajaan Syria jika keganasan berterusan di wilayah Idlib.