JOHANNESBURG:Afrika Selatan tidak akan menggunakan vaksin AstraZeneca dalam sebahagian program vaksinasi negara itu.

Ia berikutan hasil awal yang menunjukkan bahawa vaksin itu tidak berkesan untuk mencegah sakit ringan hingga sederhana daripada varian baharu COVID-19.

Menurut Ketua Jawatankuasa Penasihat Vaksin COVID-19 di Afrika Selatan, Barry Schoub, data awal menunjukkan kadar keberkesanan vaksin terhadap varian menurun hingga sekitar 22 peratus.

“Keputusan untuk menangguhkan penggunaannya sehingga ada data lebih lanjut merupakan langkah yang tepat.

“Sekarang, jumlahnya tidak terlalu besar.

"Itu benar, tetapi sayangnya, ketika dianalisis, peratus keberkesanan turun menjadi 20 peratus ke 22 peratus, serendah itu.

"Secara etika, kita sebenarnya tidak boleh menggunakan vaksin yang mempunyai tahap keberkesanan yang rendah.

“Oleh itu, keputusan seperti itu diambil untuk menangguhkan penggunaan vaksin AZ (AstraZeneca) untuk digunakan sementara, sehingga kami dapat data yang penuh dan sehingga kami mendapat lebih banyak data,” katanya.

Susulan pengumuman itu, rancangan menyuntik pekerja kesihatan menggunakan vaksin AstraZeneca turut ditangguhkan.

Menurut University of Witwatersrand yang menjalankan ujian klinikal itu, suntikan vaksin tidak mencegah kes COVID-19 bergejala ringan hingga sederhana terhadap orang dewasa muda.

Dekan Fakulti Kejururawatan dan Kesihatan Awam Afrika Selatan, Profesor Mosa Moshabela berkata, antara kemungkinan yang boleh dipertimbangkan pemberian vaksin lain kepada 100,000 pekerja kesihatan dan memantau keberkesanannya terhadap varian baharu.

"Satu perkara yang perlu kita lakukan dalam jangka pendek adalah memberikan vaksin AstraZeneca ini kepada yang kita sebut orang dewasa yang lebih sihat, seperti yang dijelaskan dalam kajian ini.

"Ia adalah kerana mereka menyasarkan orang yang berumur di bawah 65 tahun dan tidak mempunyai mobiliti atau faktor risiko utama.

"Tetapi cara saya menyusunnya adalah bahawa vaksin Johnson&Johnson diberikan kepada pekerja kesihatan yang berumur lebih dari 60 atau 65 tahun dan yang sudah mempunyai mobiliti teras atau faktor risiko lain.

"Tetapi apa yang dapat membantu adalah kenyataan bahawa Oxford dan AstraZeneca sudah membangunkan suntikan tambahan.

"Oleh itu, jika kita bawa suntikan tambahan itu, maka itu benar-benar akan membantu kita memaksimumkan vaksin AstraZeneca, terutama jika suntikan tambahan itu sebenarnya dirancang untuk dapat mengatasi cabaran yang kita hadapi dengan varian baru di Afrika Selatan," katanya.

COVID-19 | Afrika Selatan tangguh suntik vaksin AstraZeneca


Pihak berkuasa kesihatan berkata, varian virus ini lebih mudah menular dan terdapat bukti ia dapat menjangkiti individu yang imun daripada virus yang asal.

Afrika Selatan menerima 1 juta dos pertama vaksin AstraZeneca minggu lalu.

Ia dijangka memulakan program imunisasi kepada pekerja penjagaan kesihatan pada pertengahan Februari.

Varian baharu COVID-19  telah menyebabkan peningkatan kes kematian di Afrika Selatan dan menyumbang lebih dari 90 peratus kenaikan kes pandemik.