JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia ketika ini mencecah 270,604,255, berikutan lebih 400,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan lebih 50 juta kes.

Ini diikuti India dengan hampir 34.7 juta kes dan Brazil dengan 22.2 juta kes.

United Kingdom mencatat 10.9 juta kes, Rusia 9.9 juta manakala Turki 9 juta.

Perancis pula mencatatkan 8.3 juta kes, sementara Argentina, Sepanyol dan Colombia melebihi 5 juta kes.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes COVID-19 dengan lebih 4.2 juta kes.

Ini diikuti dengan Filipina dengan lebih 2.8 juta, Malaysia hampir 2.7 juta kes dan Thailand dengan 2.1 juta kes.

Singapura pula merekodkan 273,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini berjumlah 5,310,477 kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 798,218 kes.

Ini diikuti Brazil dengan 616,457 kes, India 475,636 kes dan Mexico 296,672 kes.

Sementara itu, Rusia kini mencatat 284,909 kematian.

United Kingdom, Itali, Perancis dan Jerman pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Sepanyol merekodkan angka korban sebanyak 88,484 kes.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan 143,948 korban.

Ia disusuli Filipina dengan 50,341, diikuti Malaysia dengan 30,908 kes dan Thailand 21,194 kes.