Ringkasan AI
- MCA menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya tiga daripada empat kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Melaka ke-16.
- Kerusi Kota Laksamana menjadi tumpuan selepas diumumkan bakal diangkat sebagai ibu negeri sekiranya dimenangi BN.
- Hee Sem yakin mempertahankan Machap Jaya berdasarkan rekod perkhidmatan dan keakraban dengan penduduk sejak lima tahun lalu.
ALOR GAJAH: MCA menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Naib Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata antara kerusi sasaran ialah Machap Jaya, Bandar Hilir serta Kelebang, sementara usaha turut dipergiatkan untuk menawan DUN Kota Laksamana.
"Kita jangka kita boleh menang tiga kerusi di DUN Melaka. Kota Laksamana kita masih usahalah untuk memastikan kemenangan kerusi BN," katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Tok Rauf di DUN Machap Jaya, di sini, pada Isnin.
Mengulas sasaran di Kota Laksamana, Hee Sem berkata kerusi berkenaan membawa tanggungjawab lebih besar selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan kawasan itu akan diangkat sebagai ibu negeri, jika dimenangi oleh BN.
Hee Sem yang juga calon dan penyandang DUN Machap Jaya berkata beliau yakin mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan rekod perkhidmatannya kepada penduduk sepanjang lima tahun lalu.
Katanya, beliau bukan hanya turun padang ketika tempoh berkempen, sebaliknya mula mendekati penduduk dan menyelesaikan isu setempat sejak memenangi kerusi berkenaan pada PRN Melaka ke-15.
"Oleh kerana dalam lima tahun ini, saya sentiasa turun ke kawasan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk tempatan.
"Saya juga selalu buat program Jalinan Kasih, menyantuni rakyat di DUN Machap Jaya. Apabila saya turun ke padang, saya boleh tengok sendiri dan mendengar sendiri masalah mereka," katanya.
Menurutnya, hampir semua kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta banyak lokaliti di Machap Jaya telah dilawatinya sepanjang kempen.
Mengulas cabaran berdebat yang dikemukakan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin, Hee Sem berkata beliau tidak melihat keperluan untuk menyertai sesi tersebut kerana prestasi dan rekod kerjanya sepanjang lima tahun lalu boleh dinilai sendiri oleh pengundi.
"Saya dah lima tahun buat kerja, rakyat sudah tahu apa yang saya sudah laksanakan dan masalah di DUN Machap Jaya banyak telah selesai.
"Saya pun dah buat sidang media mengenai pencapaian saya dan manifesto. Jadi dalam masa kempen, saya tak perlulah menerima jemputan mereka. Masing-masing ada kerja masing-masing," katanya.
Hee Sem berkata pengalaman berkhidmat sejak 2021 membolehkannya memahami isu setempat dengan lebih mendalam serta mengenal pasti keutamaan penduduk.
"Saya lebih tahu apa yang penduduk di sini mahu atau masalah mereka dan saya boleh selesaikan," katanya.
Kota Laksamana kembali ditandingi MCA selepas kerusi itu diserahkan semula kepada BN oleh Perikatan Nasional (PN), dengan Melvin Chua Kew Wei mewakili gabungan tersebut.
PRN Melaka ke-16 membabitkan 28 kerusi DUN dan 79 calon daripada tujuh parti. Pengundian awal ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Berapakah jumlah kerusi DUN yang disasarkan MCA untuk dimenangi pada PRN Melaka ke-16?
A: MCA menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga daripada empat kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Melaka ke-16. - Q: Apakah kerusi-kerusi utama yang menjadi sasaran MCA dalam PRN Melaka ke-16?
A: Kerusi utama yang menjadi sasaran MCA ialah Machap Jaya, Bandar Hilir, Kelebang, dan usaha turut dipergiatkan untuk menawan DUN Kota Laksamana. - Q: Apakah kepentingan kerusi Kota Laksamana menurut Datuk Ngwe Hee Sem?
A: Kerusi Kota Laksamana dianggap penting kerana Ketua Menteri Melaka menyatakan kawasan itu akan diangkat sebagai ibu negeri jika dimenangi oleh BN. - Q: Bagaimana Datuk Ngwe Hee Sem menilai peluang mempertahankan kerusi Machap Jaya?
A: Datuk Ngwe Hee Sem yakin dapat mempertahankan kerusi Machap Jaya berdasarkan rekod perkhidmatannya kepada penduduk sepanjang lima tahun lalu. - Q: Bilakah tarikh pengundian awal dan hari pengundian PRN Melaka ke-16?
A: Pengundian awal ditetapkan pada 10 November manakala hari pengundian pada 14 November.