PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada Selasa menegaskan program vaksinasi di negara itu perlu dipergiatkan.

Ia susulan kadar kematian harian yang tinggi direkodkan sejak beberapa hari lepas.

Bercakap pada satu sidang bersama penggubal undang-undang di Moscow, beliau menggesa agar mereka memainkan peranan menyokong usaha kerajaan memastikan keseluruhan populasi divaksinasi.

Jelas Putin, vaksinasi adalah pelindung utama dari simptom teruk dan ia perlu dipercepatkan.

Untuk rekod, Rusia antara negara terawal yang melancarkan vaksin COVID-19 buatan tempatan, iaitu Sputnik V, tahun lalu.

Namun, rakyat Rusia dilapor skeptikal dan tidak mempercayai vaksin buatan tempatan tersebut.

Rusia melaporkan 973 kematian pada Selasa, jumlah kematian harian tertinggi sejak bermulanya pandemik.

Pada masa sama, lebih 28,000 kes harian baharu dicatatkan.

Menteri Kesihatan Mikhail Murashko memaklumkan, dengan peningkatan drastik itu, sejumlah besar pesakit COVID-19 kini sedang menerima rawatan di hospital.

Difahamkan, 1.1 juta pesakit COVID-19 kini dirawat di hospital-hospital di negara itu.