SELEPAS dua bulan merekodkan sifar kes penularan COVID-19 dalam komuniti di Vietnam, sebanyak 83 kes positif tempatan dikesan di wilayah Hai Duong dan Quang Ninh, utara Vietnam.

Angka tersebut merupakan rekod harian tertinggi yang dicatatkan negara itu selepas berjaya mengekalkan jumlah kes harian bawah 50.

Memetik laporan media tempatan, daripada 83 kes positif itu, 72 merupakan kakitangan di syarikat Vietnam Poyun Electronics Co. Ltd. di Hai Duong manakala baki kes dipercayai dilaporkan di Lapangan Antarabangsa Van Don di Quang Ninh.

Kes-kes positif tersebut merupakan kontak rapat kepada kes indeks ke-1,552 dan ke-1,553 yang disahkan positif pada pagi Khamis.

Kes ke-1,552 merupakan seorang wanita, 34 tahun yang bekerja di Vietnam Poyun manakala kes ke-1,553 ialah seorang lelaki berusia 31 tahun yang bekerja di lapangan terbang berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan Vietnam kini masih menjalankan pengesanan kontak rapat kepada kes-kes tersebut.

Lapangan terbang terbabit telah ditutup susulan kes-kes baharu itu dikesan.

Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc menerusi satu mesyuarat tergempar pada Khamis menggesa supaya pihak berkuasa Hai Duong dan Quang Ninh mengambil tindakan segera bagi mengekang penularan baharu itu.

Dalam dua minggu akan datang, rakyat Vietnam bakal menyambut perayaan terbesar, Tahun Baharu Tết yang menyaksikan jutaan membuat perjalanan pulang ke kampung di serata negara.