KUALA LUMPUR: Seorang daripada lapan individu yang dilaporkan hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu dekat sini semalam, ditemukan lemas di kawasan Jambatan Pertak, pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Asrul Riezal Asbar berkata mangsa, seorang lelaki warga tempatan dikenal pasti sebagai V. Vijayan ditemukan kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan di Lata Jebus.
“Sebanyak 19 individu yang terkandas terdiri dari empat kumpulan di kawasan berkenaan, berjaya diselamatkan pada 12.16 tengah malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.55 petang semalam, lapan mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini, dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor di sekitar kawasan kejadian bagi mengesan tujuh lagi mangsa yang masih hilang.
-- BERNAMA