BANGKOK:Thailand mengesan dua kluster baharu COVID-19 ketika gelombang jangkitan baharu terus menyumbang kepada jumlah kes harian yang kekal tiga digit di negara itu.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 121 kes baharu COVID-19 melibatkan 94 penularan tempatan serta 18 pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon, lapan kes import dan satu dari luar pusat kuarantin alternatif kerajaan.

Setakat ini, Thailand telah mencatatkan 6,141 kes COVID-19 dengan 60 kematian.

Dua kluster baharu itu membabitkan sekumpulan peminat motosikal berkuasa besar yang berhimpun di Pulau Lanta di wilayah selatan Krabi serta sebuah pusat perjudian haram di wilayah timur Rayong.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kes indeks di pusat perjudian itu dipercayai wanita berusia 55 tahun yang didapati positif COVID-19 dan kemudian menjangkiti kontak rapatnya.

"Setakat ini, kira-kira 36 jangkitan tempatan dilaporkan di Rayong termasuk 28 kes yang berkaitan dengan pusat perjudian itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai penularan wabak yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon, Thaweesilp berkata seramai 1,356 pekerja asing diuji positif COVID-19.

"Jangkitan itu telah menular ke 38 wilayah dalam negara ini. Bagaimanapun, jumlah jangkitan baharu terus berkurangan. Seramai 11,620 individu menjalani ujian COVID-19 dan 1,356 individu atau 11.7 peratus didapati positif," katanya.

Sementara itu, media tempatan melaporkan Gabenor Rayong Charnna Iamsaeng mengesahkan sebanyak 49 kes baharu COVID-19 dikesan di wilayah itu. Namun, kes baharu itu tidak termasuk dalam pengiraan hari ini.

-- BERNAMA